PEMBANGUNAN SOSIO-EKONOMI LANGKAWI DALAM INDUSTRI PELANCONGAN LANGKAWI : PERANAN PEGAWAI DAERAH
1. PENGENALAN
1.2 Kertas ini dibentangkan adalah sebagai bahan perbincangan dalam Dialog Pembangunan Langkawi 2006 berkaitan isu-isu pembangunan sosial ekonomi penduduk Langkawi dalam industri pelancongan di Pulau Langkawi. Memandangkan kesuntukan masa dalam menyediakan kertas ini perbincangan hanya terhad kepada sektor yang diberikan dan tidak akan menyentuh sektor-sektor lain walaupun dalam perbincangan ini sedikit sebanyak ianya akan tersentuh juga.
2 INSTITUSI PEGAWAI DAERAH DALAM PEMBANGUNAN SOSIO EKONOMI
2.1 Dalam kontek peranan Pegawai Daerah Langkawi, penekanan kepada pembangunan sosio ekonomi penduduk Langkawi adalah menjadi agenda utama Pejabat Daerah. Inilah teras utama fungsi Pejabat Daerah Langkawi yang sepatutnya diberi perhatian.. Inilah juga peranan yang cuba dikembalikan oleh Kerajaan berdasarkan kepada kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsudin Osman dalam satu kenyataan akhbar bertarikh 15 Mac 2006 dimana Pegawai Daerah perlu menumpukan tugas utama yang menjadi terasnya iaitu pembangunan sosio ekonomi dan pembangunan tanah.. Sekiranya Pegawai Daerah diberi tugasan yang terlalu umum dan banyak maka agak sukar bagi pentadbiran daerah untuk memberi perhatian serious kepada pembangunan sosio ekonomi rakyat dan juga pembangunan tanah.
2.2 Ini bermakna setiap aktiviti pejabat daerah perlu halatuju kearah pencapaian pembangunan sosial ekonomi rakyat Langkawi ini. Sebab itulah pada zaman-zaman awal pentadbiran negara yang baru merdeka Pejabat Daerah memainkan perananan yang penting hinggakan dibekalkan dengan berbagai peralatan dan mesin bagi membantu menjayakan pembangunan fizikal daerah. Perancangan dan pelaksanaan dasar kerajaan telah diberi kepada Pejabat Daerah sepenuhnya samada dalam bentuk melaksanakan sendiri atau membuat penyelarasan dan pemantauan dengan agensi-agensi lain. Ini mungkin kerana pada waktu tersebut tidak banyak agensi-agensi kerajaan ditubuhkan. Dari masa kesemasa semakin banyak agensi-agensi pembangunan baru diujudkan berasaskan keperluan dan perkembangan semasa. Contohnya diPulau Langkawi ini sahaja telah ada Lembaga Pembangunan Langkawi, Majlis Tindakan Pelancungan Langkawi, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah dan sebagainya. Jabatan-jabatan ini telah banyak mengambil alih peranan yang dulunya dipertanggungjawabkan kepada Pejabat Daerah dan jabatan-jabatan ini lebih mengkhusus aktiviti-aktivitinya agar ianya lebih cekap dan berkesan.
2.3 Sesuai dengan perkembangan semasa Pentadbiran Daerah lebih sesuai ditumpukan kepada Pentadbiran Pembangunan dan sebagai agensi kerajaan tertinggi diperingkat daerah ianya merancang dan melaksanakan program-program pembangunan secara bersepadu dengan jabatan/agensi-agensi kerajaan yang lainya.
2.4 CADANGAN
2..4.1 Institusi Pegawai Daerah perlu dipertingkatkan kuasa dan fungsinya terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi rakyat dan pembangunan tanah serta kerajaan tempatan. Untuk ini Pegawai Daerah perlu diberi pegawai dan kakitangan yang mencukupi bagi melaksanakan program-progam yang berkaitan secara langsung dengan rakyat terutama pembangunan sosioekonomi. Dalam kontek Pejabat Daerah Langkawi ini ianya bergerak dalam serba kekurangan kakitangan yang benar-benar mahir dengan isu-isu sosial dan pembangunan didaerah.
Penulis sekali sekala mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah apabila Tuan Pegawai Daerah mempunyai urusan penting ditempat lain. Bagus juga, dapatlah penulis berpeluang belajar pengurusan mesyuarat penting yang ahlinya terdiri dari YB dan Ketua Jabatan peringkat Daerah. Nanti bila sudah jadi Pegawai Daerah (kalaua jadi) tidaklah kekok sangat
2.4.2 Bagi membolehkan Pegawai Daerah memberi perhatian terhadap isu-isu pembangunan ini beliau perlulah dikurangkan beban tugas yang kurang berkaitan seperti sukan, belia, agama, pemadam, majlis-majlis sosial yang kurang perlu , mesyuarat-mesyuarat yang kurang berkaitan dengan pembangunan dan seumpamanya. Dari kajian yang dibuat lebih 60 jawatankuasa yang Pegawai Daerah menjadi ahli jawatankuasa diperingkat daerah dan negeri. Disamping itu Pegawai Daerah juga terlibat sebagai Pengerusi dan penasihat dalam pelbagai jawatankuasa dan badan-badan sukarela. Ini semua memerlukan komitmen sepenuhnya dan tidak mungkin beliau dapat menumpukan perhatian kepada tugas terasnya dalam pembangunan sosial ekonomi rakyat jika tidak diberi pegawai yang secukupnya.
2.4.3 Terdapat banyak lagi isu-isu pembangunan yang perlu diberi perhatian oleh Pegawai Daerah. Antaranya isu kemudahan awam dikawasan-kawasan luarbandar, isu kemiskinan yang perlu diberi pembelaan, isu pembangunan tanah yang tidak selesai, isu pelaksanaan projek-projek pembangunan, isu projek-projek terbengkali, isu pelaksanaan projek-projek ekonomi dikawasan luar bandar, isu setinggan yang perlu ditangani sebaik mungkin dan sebagainya. Isu-isu ini jika tidak diselesaikan dengan sebaik mungkin ianya memberi kesan secara langsung dan tidak langsung terhadap perkembangan sektor pelancongan di Langkawi ini.
2.4.4 Sekiranya Pegawai Daerah dibekalkan dengan pegawai pengkhususan yang mencukupi saya berpendapat banyak isu-isu pembangunan yang timbul dalam daerah Langkawi akan dapat ditangani dan diselesaikan dengan segera dan kesannya rakyat akan mendapat manfaatnya.
2.4.5 Segala arahan dan dasar-dasar pembangunan kerajaan akan lebih mudah direalisasikan diperingkat daerah. Perancangan yang dibuat diperingkat daerah lebih terperinci dan berkesan sesuai dengan keperluan rakyat dan pelancong. Ini kerana penumpuan yang lebih terperinci boleh diberikan oleh Pegawai Daerah jika beliau tidak lagi atau kurang terlibat dalam hal-hal yang tidak berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi.
2.4.6 Oleh itu penekanan kepada tindakan proaktif Pegawai Daerah dalam pembangunan sosioekonomi penduduk akan memberi satu kesan yang amat bermakna kepada pembangunan pelancongan di Pulau Langkawi ini. Penduduk Langkawi terutama di luarbandar dan kaum bumiputera perlu sekali ditingkatkan taraf hidup mereka melalui aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan sektor pelancongan dan pada masa yang sama aktiviti tradisional seperti pertanian dan perikanan perlu ditingkatkan produktivitinya melalui pemodenan sektor pertanian dan perikanan..
3. STRUKTUR PEKERJAAN.
3.1 Kalau pada waktu dulu Langkawi tidak menjadi tarikan pada orang luar untuk melawat atau bermastautin di sini tetapi sekarang apabila diistiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai dan destinasi pelancongan utama lebih 25% penduduknya terdiri dari orang-orang luar daerah Langkawi. Terlalu banyak orang luar bermastautin di Pulau ini sedikit sebanyak memberi impaks yang kurang menyenangkan kepada penduduk tempatan. Namun ini tidak dapat dielakkan kerana jumlah pekerjaan dalam sektor pertanian dan perikanan adalah tinggi, dimana ini menunjukkan penglibatan tenaga kerja yang rendah dalam sektor yang lebih produktif kerana kurangnya tenaga muda yang berkemahiran dalam sektor-sektor perkhidmatan kewangan, utiliti, pengangkutan, penyimpanan dan perhubungan (kurang 2% sahaja) dan sebagainya yang mana sektor ini sangat berkait rapat dengan aktiviti pembangunan yang berasaskan kepada pembangunan pelancongan.
3.2 Bagi penduduk tempatan bolehkah mereka ini mengambil bahagian sama dalam kegiatan ekonomi dan sosial yang berasaskan kepada pembangunan pelancongan. . Dalam lain kata mengambil manafat dari perkembangan sektor pelancongan. Memang ada kesan yang ketara kepada penduduk. Bagi yang bersedia mereka akan sama-sama turut mengikut arus tetapi yang lambat bertindak akan terus ketinggalan. Sebab itulah pendekatan yang dimainkan oleh Pejabat Daerah ialah cuba untuk mencari jalan alternatif lain bagaimana boleh membantu rakyat Langkawi sama-sama dapat mengecapi nikmat dari kemajuan pembangunan Langkawi ini. Untuk membolehkan peningkatan dalam ekonomi keseluruhannya kepada rakyat Langkawi keseluruhannya , saya berpendapat penekanan perlu diberi kepada 2 aspek iaitu mengalihkan lebih banyak aktiviti ekonomi kearah sektor yang lebih produktif seperti yang terdapat dalam sektor pelancongan dan mempertingkatkan produktiviti didalam setiap sektor.
3.3 CADANGAN
3.3.1 Sektor pertanian dan perikanan masih lagi merupakan sektor utama yang diceburi oleh rakyat tempatan. Sektor ini tidak boleh ditinggalkan terus. Namun begitu dengan pengurusan yang lebih baik dan teknologi yang lebih moden dan canggih, produktiviti dan pendapatan dalam sektor ini akan meningkat. Menjadi harapan kerajaan dengan pemodenan sektor pertanian ini kadar kemiskinan akan menurun dan pendapatan perkapita akan meningkat lebih RM7,000.00. Menggalakkan petani mengerjakan tanah sawah secara berkelompok dan secara ladang komersial adalah salah satu tindakan yang boleh meningkatkan pendapatan petani-petani. Dengan konsep ini membolehkan kerajaan memberi pinjaman mudah pertanian yang akan dijadikan sebagai modal permulaan mengerjakan sawah/ladang mereka.
3.3.2 Aktiviti pertanian juga boleh ditingkatkan nilai tambahnya dengan menggalakkan agensi-agensi pelancongan mengadakan perhubungan dengan tuanpunya dusun-dusun buahan bagi mengadakan lawatan ke dusun, lawatan ke aktiviti menuai padi dan sebagainya. Mereka ini diberi peluang untuk mencuba menjalankan aktiviti harian seperti menanam padi, menuai padi, menoreh getah, membajak menggunakan kerbau, menangkap ikan dalam lumpur menggunakan serkap dan sebagainya. Kawasan-kawasan pertanian padi, getah dan lain-lain pada tempat-tempat yang tertentu perlu dikekalkan dan diusahakan secara tradisional untuk memperlihatkan kepada para pelancong luarnegara bagaimana penanaman padi dan lain-lain tanaman diusahakan secara tradisional. Selain itu, kawasan-kawasan sawah padi mempunyai kesan penataan estetika lanskap yang menarik. Dengan cara ini juga petani dapat menambahkan pendapatan melalui aktiviti jualan kraftangan dari aktiviti padi dan juga catering makanan serta yuran kepada kepada pelancong-pelancung yang datang melawat dan ingin mencuba sendiri aktiviti disawah atau ladang-ladang tradisional ini.
3.3.3 Kerajaan boleh menyediakan insentif dan galakan kepada aktiviti perikanan yang tidak berkait secara langsung dengan pelancongan dengan penekanan diberikan kepada industri akuakultur, perusahaan ikan bilis dan gunatanah pertanian yang memberi identiti kepada Langkawi..
4. ISU PENGANGGURAN
4.1 Pengangguran masih merupakan isu utama di Langkawi walaupun ianya masih dalam kadar yang sederhana pada kadar lebih kurang 8%. Keadaan ini ujud adalah disebabkan tenaga kerja tidak mempunyai kemahiran untuk bekerja dibidang-bidang yang lebih produktif dalam sektor pelancongan serta kurangnya peluang pekerjaan. Kebanyakan penduduk tempatan masih lagi menumpukan kepada sektor tradisional seperti pertanian dan perikanan dan pendapatan yang diperolehi dari sektor ini terlalu rendah dan tidak menggalakkan.
4.2 Sektor-sektor produktif yang berkait dengan pelancongan seperti pembuatan, pembinaan, perdagangan/perhotelan dan pengangkutan/utiliti telah mengalami pertumbuhan yang tinggi terutamanya setelah kerajaan mengistiharkan Pulau Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai. Ini menunjukkan potensi untuk perkembangan sektor-sektor tersebut dimasa depan adalah sangat cerah.
4.3 CADANGAN PENYELESAIAN.
4.3.1 Untuk mengelakkan terlalu banyak orang dari luar Langkawi datang bekerja sedangkan penduduk tempatan hanya sekadar tertumpu kepada sektor tradisional yang tidak menjanjikan peningkatan kepada pendapatan mereka maka satu langkah yang praktikal perlu dilakukan.
4.3.2 Salah satu langkah yang dirasakan boleh membantu penduduk Langkawi terutama anak-anak muda dari berhijrah ke luar Langkawi ialah dengan memberi latihan kemahiran kepada mereka. Latihan yang dimaksudkan disini ialah latihan kemahiran setempat yang berkaitan dengan sektor pelancungan. Contohnya latihan kemahiran kraftangan. Melalui latihan penduduk Langkawi dapat menyediakan barang-barang kraftangan yang lebih berkualiti dan berseni. Selama ini amat kurang sekali barang-barang kraftangan buatan penduduk tempatan. Apa yang ada ialah barangan dari negara Thailand, Indonesia dan juga dari tanah daratan. Ini tidak memberi apa-apa keuntungan ekonomi kepada rakyat tempatan. Begitu juga dengan latihan-latihan berkenaan perhotelan dibawah 2 bintang, latihan kemahiran membaiki kenderaan bot, motosikal atau kenderaan, latihan jurulatih menyelam, kursus memasak dan pengurusan majlis dan acara, kursus katering, dan sebagainya.
4.3.4 Perusahaan penginapan pelancong mempunyai potensi yang besar memandangkan kedatangan pelancong yang semakin meningkat setiap tahun. Walau pun penglibatan bumiputera dalam penyediaan kemudahan penginapan agak menggalakkan tetapi mereka masih kekurangan kemahiran dan latihan yang diperolehi secara formal. Mereka ini perlu diberi latihan secukupnya dalam menguruskan perusahan penginapan pelancong ini.
4.3.5 Untuk tujuan ini institusi latihan perlu diadakan di Pulau Langkawi ini. Institusi yang boleh digunakan ialah seperti Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian, Pusat Giat dan lain-lain yang sesuai. Kursus-kursus jangka pendek seperti Sijil Pengurusan Hotel dan Pelancongan amat diperlukan di Pulau Langkawi ini. Kursus-kursus seperti ini memberi peluang kepada mereka yang kurang berjaya dalam akademik tetapi memiliki kesungguhan mendapatkan ilmu dan kemahiran selaras dengan keperluan dalam sektor pelancongan di Pulau Lagenda ini. Dengan kursus ini mereka terutama penduduk kampong akan menjadi lebih berdaya saing selaras dengan era globalisasi. Institusi yang hendak diujudkan ini ini perlu berkonsep baru dimana mengutamakan kemahiran praktikal dan pengetahuan-pengetahuan disektor pelancongan atau yang berkaitan denganya , mempunyai kurikulum yang boleh membentuk jiwa dan ketahanan pelatih sehingga mampu berdikari dan berupaya meningkatkan pengurusan dan skil pengusahawan dibidang perniagaan, perkhidmatan, pemerosesan serta menyemai minat terhadapnya. Hanya melalui cara inilah sahaja penduduk Langkawi dapat sama-sama mengambil bahagian dalam sektor yang paling produktif iaitu sektor pelancongan. Masyarakat yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dapat membantu dalam menjayakan dan menyokong pembangunan sektor pelancongan. Masyarakat yang berpengetahuan akan menjamin sokongan yang baik kepada sektor pelancongan. Strategi yang boleh Pegawai Daerah laksanakan ialah menganjurkan latihan atau menguruskan latihan bersama institusi latihan yang sedia ada kepada masyarakat setempat. Seboleh mungkin masyarakat tempatan perlu didedahkan dengan teknologi-teknologi terkini seperti teknologi maklumat dan sebagainya.
4.3.6 Di Langkawi ini terdapat beberapa kampong yang telah dipilih sebagai kampong cemerlang dan tercantik. Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang yang dilaksanakan oleh Pejabat Daerah telah mengujudkan beberapa kampong yang berpotensi untuk dijadikan sebagai kawasan tarikan pelancongan dan juga mengujudkan ‘homestay’ . Melalui ‘homestay’ pelancong sendiri akan dapat merasai sendiri suasana kehidupan sesebuah kampong yang berlatarbelakangkan pertanian dan nelayan serta lebih memahami budaya dan masyarakat tempatan. Banyak aktiviti-aktiviti yang boleh diatur dalam kampong tersebut seperti aktiviti majlis khenduri, berendoi, permainan tradisional rakyat, dan sebagainya. Keunikan seperti inilah yang menjadi perhatian dan kesukaan pelancong-pelancong asing. Kampong-kampong seperti Kg Sg Itau, Kg Candek Kura, Kg Kedah Wang Tok Rendong adalah diantara beberapa kampong yang boleh dijadikan destinasi pelancong terutama pelancong dari luar negara. Melalui lawatan pelancong yang berterusan akan menggalakkan aktiviti ekonomi yang berterusan dikampong tersebut seperti catering makanan, pertunjukkan kesenian, jualan kraftangan, jualan makanan tradisional, penyewaan rumah homestay dan sebagainya. Aktiviti seperti ini juga telah mengubah minda penduduknya kepada lebih proaktif dan kreatif serta pengukuhan institusi kampong tersebut. Secara tidak langsung menggalakkan ekonomi penduduk akan berkembang dan meningkatkan taraf hidup penduduk tersebut.
4.3.7 Untuk mengujudkan suasana seperti yang dibayangkan diatas bukanlah mudah. Ianya memerlukan daya kepimpinan dan semangat bersatu hati setiap ahli dalam kampong tersebut. Disinilah peranan Pegawai Daerah untuk masuk kekampong-kampong dan mencetuskan idea tersebut serta memberi jalan dan panduan yang boleh dibuat bagi merealisasikan peningkatan sosio ekonomi masyarakat tempatan.
4.3.8 Kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa telah menggalakkan industri perkhidmatan tempatan seperti industri pengangkutan pelancongan (feri, cruise , teksi, kereta sewa .kapal layar dan sebagainya.), menggalakkan industri kraftangan, menggalakkan pelaburan asing di Pulau Langkawi, Pengujudan Chalet dan rumah penginapan serta hotel-hotel, Restoran-Restoran dan sebagainya.
Usaha-usaha pembangunan sosio ekonomi penduduk merupakan tindakan yang berterusan yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengubah minda, cara hidup rakyat dan juga taraf hidup rakyat.
5. PENUTUP
5.1 Tidak dapat dinafikan ciri-ciri alam persekitaran semulajadi yang menarik serta berlatarbelakangkan sejarah dan sosial yang unik menghulurkan potensi yang amat besar untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai salah sebuah destinasi utama pelancong di Malaysia. Kejayaan pembangunan sektor pelancongan akan dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi Langkawi. Pada masa yang sama juga pembangunan sosial ekonomi penduduk tempatan perlu seiring dengan pembangunan sektor pelancongan di Langkawi. Oleh itu perancangan dan strategi pembangunan yang dirangkakan hendaklah mengambil kira masyarakat tempatan agar tidak tersisih dan juga mengambil kira pengekalan sumber-sumber daya penarik produk pelancongan di Pulau Langkawi. Dari perbincangan kertas kerja ini dapatlah disimpulkan beberapa isu utama yang berkaitan sosio ekonomi penduduk Langkawi yang telah dikenalpasti yang boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan ialah seperti berikut:-
5.1.1 Sumber dan produk pelancungan luar bandar yang masih belum dioptimumkan
5.1.2 Kekurangan sokongan kemudahan infrastruktur dikawasan desa yang berpotensi untuk menyokong tarikan pelancongan
5.1.3 Penglibatan penduduk tempatan yang masih rendah dalam memajukan sektor pelancongan eko dan agro
5.1.4 Aspek kebudayaan masyarakat tempatan tidak dijelmakan sebagai produk pelancongan khususnya untuk menarik keinginan atau minat para pelancong internasional.
5.1.5 Penduduk tempatan masih lagi kekurangan kemahiran dalam usaha untuk menggunakan sepenuhnya atau mengeksploitasi dan menerapkan nilai tambah pelancongan dalam produk pertanian semasa.
5.2 Sebahagian cadangan penyelesaian telah dikemukakan, walaubagaimanapun dalam masa yang terhad perbincangan hanya tertumpu kepada peranan yang boleh dimainkan oleh Pegawai Daerah dalam menjana kemahiran penduduk dan mengujudkan kemimpinan kampong yang lebih berkesan, kreatif dan proaktif melalui program-program yang diaturkan. Dengan cara ini barulah penduduk tempatan dapat mengambil bahagian yang lebih aktif dalam industri pelancongan yang secara t idak langsung akan membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.
Mohd Asri Redha b. Abdul Rahman
Pejabat Daerah Langkawi
Kertas Kerja ini dibentangkan dalam ’Dialog Pembangunan Langkawi 2006’
No comments:
Post a Comment