Monday, April 29, 2019

Ucapan Malam Mesra DiRaja

Catatan : Draf disediakan oleh Mohd Asri Redha





Draf ucapan SUK di Majlis Malam Mesra KCS pada 04.12.2015

Assalaamualaikum WRT
Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Raja Permaisuri Agong.
Ampun Tuanku, Beribu-Ribu Ampun,
Sembah Patik Mohon di Ampun

Patik serta pacal-pacal sekalian dengan segala hormat dan takzimnya merafak sembah, menyembahkan junjung kasih yang tidak terhingga atas limpah perkenan  KBDYM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan KBDYMM Raja Permaisuri Agong mencemar duli untuk berangkat menghadiri Majlis Malam Mesra KCS pada malam ini.

Keberangkatan KBDYMM Tuanku bersama KBDYMM Tuanku Raja Permaisuri Agong adalah membawa erti yang amat besar bagi patik dan pacal-pacal sekalian khususnya Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Kedah sekalian. Ianya merupakan kurniaan dorongan dan perangsang bagi bagi pacal-pacal patik sekalian. Barang dikabulkan Allah SWT serta berkat kemuliaan serta daulat kebesarann KBDMM Tuanku SPB Yang DiPertuan Agong berdua, bertambahlah martabat Majlis Malam Mesra ini yang diadakan juga mengambil sempena Ulangtahun Keputeraan SPB Tuanku yang ke 88 tahun.

Patik semua amat terharu dengan keprihatinan Tuanku yang masih memberi keutamaan tertinggi terhadap setiap aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Pegawai Tadbir Negeri Kedah. Walau sesibuk manapun dengan aktiviti rasmi  dan aktiviti peribadi Tuanku tapi dengan KCS , tuanku masih dapat bersama patik-patik semua pada malam ini.  Patik-patik semua amat  terasa akan kasih sayang yang mendalam KBDYM Tuanku terhadap KCS. Keprihatinan Tuanku ini bukan sahaja kepada KCS sahaja tetapi juga kepada semua rakyat jelata sekalian.

Sebab itulah, setiap apa sahaja pergerakan dan aktiviti Tuanku sentiasa diambil berat oleh rakyat jelata.. Terbukti rakyat amat mengambil berat terhadap Tuanku sepertimana peristiwa yang berlaku baru-baru ini dimana hanya kerana gambar yang dimasukkan dalam internet telah menyebabkan ianya menjadi viral dan mendapat  liputan yang begitu banyak sekali dari rakyat Malaysia dari seluruh dunia.  Hanya kerana gambar Van Ambulan yang memasuki pekarangan Istana Negara sahaja sudah cukup untuk menjadi kejutan kepada rakyat jelata sekalian. Macam-macam komen yang diterima melalui pelbagai media sosial.  Begitu juga bila sahaja Tuanku berangkat ke Hospital untuk rawatan biasa, rakyat yang melihat dalam media-media sosial ini sudah membuat pelbagai andaian dan tanggapan. Biasalah sekarang ini , boleh dikatakan semua rakyat mempunyai handphone yang canggih belaka, segala nya boleh diambil gambar dan dipaparkan dalam pelbagai media sosial yang ada. Bila sudah dimasukkan dalam media sosial seperti FB, Twitter dan sebagainya, sudah tentunya akan mendapat pelbagai komen-komen yang segala macam.

Bagi patik-patik sekalian, komen-komen yang dibuat ini harus diterima secara positif.  Walaupun ada komen-komen yang diberikan itu agak terlampau, seolah-olah Tuanku kegeringan yang agak serious, tapi bagi patik perkara tersebut tidak dapat dielakkan kerana rakyat tidak    mendapat  maklumat dan penjelasan yang sebenarnya apa yang berlaku. Namun apabila diberi penjelasan oleh Pihak Istana Negara, maka perkara tersebut tidaklah berpanjangan lagi, dan masing-masing sentiasa mendoakan akan kesejahteraan Tuanku dan berdoa agar Tuanku sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat berada diatas tahta singsahsana.

Berdasarkan rentetan-rentetan cerita itu tadi , jelas menunjukkan rakyat jelata amat mengambil berat akan Tuanku.. Didalam media-media sosial yang sempat patik lihat dan baca,  jelas menunjukkan majoriti mereka yang menulis sentiasa mendoakan akan kesihatan Tuanku bertambah baik dan sentiasa beroleh kesejahteraan serta dipelihara Allah SWT setiap masa. Patik-patik semua amat berbangga mempunyai seorang Sultan yang amat dekat dihati rakyat jelata hinggakan apa sahaja yang berlaku kepada Tuanku sentiasa mendapat perhatian rakyat jelata seluruh negara.

Malam ini Persatuan Pegawai Tadbir Negeri telah mengadakan Majlis Malam Mesra KCS.  Majlis yang diadakan pada malam ini juga adalah mengambil sempena hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku  sebenar yang ke 88 tahun.  Tahniah patik ucapkan. Patik mewakili semua Pegawai Tadbir Negeri Kedah mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Keputeraan yang ke 88 tahun. Semoga Tuanku kekal bertahta diatas singgahsana Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan..

Pada hari ini juga Tuanku memerentah diatas singahsahana tahta kerajaan negeri  Kedah selama  56 tahun 09 bulan (Tuanku naik tahta 20.02.1959). Satu-satunya Sultan berdaulat yang memerentah negeri yang paling lama didunia. Dalam tempoh itu juga KBDYMM Tuanku  menduduki Jawatan SPB Yang DiPertuan Agong sebanyak 2 penggal, iaitu kali pertama pada tahun 1970 hingga 1975 dan berulang kali kedua pada tahun 2011 hinggalah ketika  ini.  Patik-patik semua amat berbangga dengan pencapaian cemerlang ini yang juga memecah pelbagai rekod yang sukar dituruti oleh lain-lain raja pemerentah. Kehebatan Tuanku memerentah dengan penoh kesaksamaan, kesederhanaan dan keadilan amat amat mengujakan patek-patek semua.

Ampun Tuanku

Selain untuk menjalinkan hubungan persaudaraan dan kemesraan yang lebih erat sesama Pegawai Tadbir Negeri, Majlis Malam Mesra KCS ini adalah  bertujuan untuk mendekatkan lagi semua KCS dengan Tuanku dan Institusi Kesultanan Kedah yang ujud sejak sekian lama ini.  Majlis pada malam ini tiada serinya jika tanpa Keberangkatan KBDYMM Tuanku. Patik sentiasa berusaha untuk memastikan setiap pegawai-pegawai KCS yang berjumlah 000 orang ini agar berusaha mengenali dan membiasakan diri dengan Tuanku dengan mengaturkan pelbagai program-program rasmi dan juga program-program seperti malam ini.   Tuanku  lah yang selama ini menjadi pelindong kepada  KCS  dari segala macam cabaran dan dugaan sehingga institusi KCS dapat bertahan sehingga kini... Sekali lagi patik semua menjunjung kasih kepada DYMM Tuanku yang amat mengambil berat terhadap KCS pada setiap masa dan ketika.

Untuk persembahan malam ini anak-anak buah patik sebenarnya telah berminggu-minggu mengadakan latihan untuk membuat persembahan terbaik pada malam ini.. Jadi sebentar lagi bolehlah DYMM Tuanku lihat dan dengar tengok apa nak jadi dengan persembahan mereka ini.. Walau apapun cara persembahan dan kualiti persembahan mereka,  semuanya amat seronok sekali untuk bersama Tuanku pada malam ini , sama-sama meraikan hari ulangtahun keputeraan Tuanku pada malam ini dan mereka akan cuba memberi persembahan yang terbaik untuk hiburan Tuanku dan kita semua. Banyak bakat-bakat terpendam dikalangan KCS yang akan  ditonjolkan nanti

Ampun Tuanku

Barang di perkenan KBDYMM  Tuanku , patik memohon diampuni izin untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada sidang hadhirin sekalian.

Duli Yang Teramat Mulia Dato Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehudin Ibni Al Marhum Sultan Badlishah,  Tunku Temenggong Kedah , Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan DYTM Tunku Datin Seri Diraja Puan Sri Dato' Seri Tengku Maliha bt Tengku Arif (Tunku Puan Temenggong Kedah)

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah dan Yang Amat Berbahagia Tok Puan Norzieta bt. Zakaria,

Yang Teramat Mulia Dato Seri  Di Raja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah , Tunku Laksamana Kedah (Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah) dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri Dato' Nora bt Abdullah, Toh Puan Laksamana Kedah

Yang Teramat Mulia Dato Seri Di Raja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz bt Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Tunku Panglima Besar Kedah (Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah)

Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan Raja Dato' Seri Iskandar Dzulkarnain Al Haj Ibni ALmarhum Sultan Idris Afifullah Sha dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Dato Seri DIiRaja Tunku Soraya bt Tunku Abdul Halim Muadzam Shah..........
............

Dato'-Dato', Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian
Terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadzrat Allah SWT  kerana dengan izin dan limpah kurnia NYA telah mengizinkan kita sama-sama dapat hadhir dimajlis yang amat besar maknanya pada malam ini.

Majlis Malam Mesra KCS ini merupakan aktiviti yang dianjurkan oleh Pegawai Tadbir Negeri Kedah yang diadakan pada setiap tahun tanpa ketinggalan. Uniknya majlis ini ianya diadakan pada tarikh sebenar (28.11.1927) hari ulangtahun keputeraan Tuanku dan pada Majlis ini juga KBDYMM SPB Yang DiPertuan Agong akan berangkat hadhir sama memeriahkan Majlis yang diadakan ini pada setiap tahun tanpa ketinggalan.. Satu penghormatan yang amat besar dari KBDYMM Tuanku SPB Yang Di Pertuan Agong pada  sekalian Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Kedah., kerana pada hari yang amat bermakna  pada Tuanku ini, Tuanku menyambutnya bersama kita Pegawai-Pegawai KCS di sini.

Bagi kita dalam perkhidmatan KCS, kita harus bersyukur dan berbangga dengan jawatan yang kita pegang ini. Pegawai2 KCS mempunyai tempat yang teristimewa didalam perkhidmatan awam negeri Kedah DA ini. Pegawai KCS , diberi amanah dan tanggungjawab besar menerajui jabatan-jabatan penting di negeri Kedah ini.  Kedudukan ini tentunya memberi cabaran dan tanggungjawab yang besar dan berat. Cabaran ini memerlukan semua pegawai KCS mempunyai tahap keprofesionalisme yang tinggi dalam pengurusan dan pentadbiran yang berlandaskan etika moral yang tinggi, budaya kerja yang terbaik dan berintegriti.

Untuk menyambut cabaran ini tentunya semua pegawai-pegawai KCS perlu mempunyai tahap keilmuan yang tinggi,  mempunyai minat yang mendalam dalam penggunaan teknologi maklumat, teknologi moden dan pengkhususan yang mendalam dalam bidang-bidang yang dipertanggungjawabkan.

Mempelajari sesuatu ilmu itu tidak boleh hanya berdasarkan menambah pengetahuan  dan kemahiran  dalam sesuatu bidang. Jika itu sahaja yang diperoleh, maka kita hanya mendapat kulit dan isi tetapi tidak intinya. Kulit adalah pengetahuannya, isi adalah kemahirannya  tetapi intinya pula ialah sikapnya. Serampang 3 mata yang menunjangi ilmu inilah yang menjadi kunci kepada penguasaan apa juga bidang ilmu dan bidang pengurusan dalam kontek KCS ini.  Tidak boleh tidak , ilmu yang baik adalah ilmu yang meresap dan dihayati oleh seseorang secara mental, fizikal dan spiritual. Ini adalah kerana pengetahuan sesuatu ilmu itu adalah untuk mentalnya, kemahiran ilmu itu adalah untuk fizikal, sementara perubahan sikap yang diperolehi  dari sesebuah ilmu itu adalah untuk spiritualnya.

Lihatlah betapa ramai manusia yang dikatakan terpelajar dan berilmu tetapi tidak bijak, apatah lagi bestari. Tahu teori, tetapi tidak dapat dipraktikkan, kerana itulah jika kita renong , terdapat banyak sekali masalah didalam masyarakat yang terjadi secara berulang-ulang dan serupa. Tidak kurang juga kesalahan dan kesilapan yang serupa dan berulang yang berlaku dalam  organisasi-organisasi kerajaan. Puncanya adalah kerana penguasaan ilmunya hanyalah kepada penambahan pengetahuan dan peningkatan kemahirannya tetapi tidak kepada perubahan sikap.

Ilmu yang dipelajari tidak dengan penyertaan hati yang tulus akan menjadikan seseorang itu tidak mengenal baik dan buruk untuk diri, keluarga, organisasi, masyarakat, negeri dan negaranya meskipun ia sudah bekerja berpuluh-puluh tahun.

Jadi saya amat mengharapkan  semua KCS mempunya 3 elemen yang penting itu , iaitu ILMU PENGETAHUAN , KEMAHIRAN BIDANG TUGAS DAN PERUBAHAN SIKAP POSITIF TERBAIK . Ia akan menjadikan kita sebagai KCS yang seimbang dari segi perlakuan dan pemikiran kita, malahan pada waktu yang sama dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara optimum yang pada akhirnya akan memberikan organisasi yang kita pimpin itu kearah kecemerlangan.

Kedudukan yang teristimewa  yang diberikan kepada KCS amat wajar di kendalikan dengan sebaik mungkin. Kepercayaan dan keistimewaan yang diberikan oleh Tuanku Sultan dan Kerajaan Negeri Kedah kepada KCS ini sewajarnya dihargai dan dikendalikan dengan etika kerja yang terbaik untuk memberi erti kepada amanah tersebut.

Marilah kita berazam dengan sepenuh hati untuk memberikan sepenuh tenaga dan usaha kita untuk menjayakan matlamat dan harapan kerajaan negeri Kedah ini. Segala nikmat kesejahteraan, kedamaian serta keamanan yg dianugerahkan Allah SWT hendaklah kita manfaatkan sepenuhnya dengan meningkatkan lagi usaha dan kerja-kerja kita  dengan penuh kesungguhan, penuh keikhlasan agar nikmat-nikmat yang kita dan rakyat jelata terima  itu terus melimpah-limpah lagi hendaknya.

Sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang baru beberapa bulan sahaja menerajui pentadbiran negeri Kedah ini, saya amat mengharapkan semua pegawai KCS sentiasa memberikan hasil produktiviti yang tinggi dan terbaik. Tidak ada lagi pegawai-pegawai yang dianggap tidak cekap dalam pentadbiran negeri Kedah. Bagi saya semua KCS adalah terbaik belaka.

Marilah kita semua KCS merapatkan tali persaudaraan sesama KCS. Hubungan mesra yang terjalin sesama anggota dalam organisasi kita ini akan membuahkan kegembiraan yang berpanjangan. Bagi saya setiap orang khususnya pegawai KCS mesti berada dalam kegembiraan dan kebahagiaan hidup didunia yang hanya sementara ini.  Apalah sangat kita bersusah hati memikirkan perkara-perkara yang hanya duniawi sahaja sedangkan ada lagi kehidupan dialam lain yang lebih kekal abadi.

Jadi sementara masih ada baki sisa hayat ini marilah kita semua isikan masa yang ada ini dengan melakukan perkara-perkara  yang membawa kebaikan kepada  diri kita, keluarga kita, organisasi kita, mesyarakat kita, negeri kita dan negara kita  dan seterusnya   juga membawa kebaikan diakhirat nanti. In Sya Allah dengan pekerjaan yang kita buat ini dengan terbaik,  penuh keikhlasan dan berintegriti segalanya akan dipermudahkan Allah SWT dan pada akhirnya akan mendapat ganjaran terbaik didunia dan akhirat nanti. Pada akhirnya juga rakyat akan mendapat perkhidmatan terbaik dari kita sebagai pegawai KCS.
Sebelum mengakhiri ucapan  ini, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis Malam Mesra KCS ini. Tanpa usaha dan kerjasama semua , tidak mungkin Majlis pada malam ini dapat dilaksanakan dengan penuh kegemilangan dan meriah ini. 

KBDYMM SPB Yang DiPertuan Agong
KBDYMM SPB Raja Permaisuri Agong
Ampun Tuanku Beribu Ampun
Sembah Patik Mohon di Ampun

Hanya sekadar inilah sahaja ucapan patik . Patik merafakkan sembah takzim, penoh ketaatan dan patik-patik sekalian bertekad untuk memelihara kemuliaan Kesultanan Kedah ini dengan keazaman  untuk terus memperkukuhkan dan mempertahankan tradisi Negeri Kedah Bersultan dan Rakyat Beraja.. Tradisi yang diwarisi sejak turun temurun, agar institusi kesultanan Kedah ini terus kekal sepanjang zaman dan kekal subur .

Patik-Patik semua berdoa semoga dibawah naungan KBDYM Tuanku , negara Malaysia amnya dan negeri Kedah Darulaman khususnya mencapai keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan serta dilindungi dari sebarang ancaman samada malapetaka, bencana dan huru hara. Semoga SPB Yang DiPertuan Agong dilanjutkan usia dalam kesihatan yang terbaik dan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT, bersemayam diatas singgahsana sebagai Amiirulmukminin dengan dengan penuh keberkatan dunia dan akhirat.. ..

Ampun Tuanku

Sekian, Wabillahitaufik walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahiwabaraatuh..



No comments:

Post a Comment