Wednesday, November 18, 2020

Anggota Pejabat Tanah Kota Setar

Catatan: Mohd Asri Redha

Tarikh : 15 November 2020 





Sunday, November 1, 2020

Kayuhan Terusan Wan Mat Saman

Catatan.. Mohd Asri Redha

 Assalaam.. buat sahabat dan saudara.. Saya doakan sihat walafiat. Cerita hari ini... 

Setiap kayuhan basikal .. kena perlu ada kelainan.. kelainan nak bagi laju kayuhan x mampu dah.. kayuh ikut kemampuan saja la.. Sebenarnya dlm Daerah Kota Setar ni banyak lagi tempat2 yg menarik yg belum diterjah.. Hari ini saya menyusuri jln kg. sepanjang  terusan bersejarah Terusan Wan Mat Saman hingga ke Kota Sarang Semut. Sayangnya terusan bersejarah binaan manusia ini, seolah-olah langsung tidak dihargai.. sepanjang jln. tepi sungai ini menjadi tempat buangan sampah segala macam.. Rakyat dan penduduk sepanjang sungai ini sewajarnya menjadikan sungai ini sebagai anak angkat mereka dijaga dan dibelai dgn elok  bukan sebagai tempat melepas segala sampah .. 



Saya juga sempat melawat satu tempat menarik di Kota Sarang Semut.. di Sungai Sala yg menjadi sempadan daerah Kota Setar dan Yan.. Jambatan yg boleh dijadikan satu produk pelancongan yg amat menarik jika dibangunkan lanskap yang  menarik dan restoran yang sesuai... amat menarik dan berpotensi tempat ini. JAMBATAN BAILEY  nama tempat yg ada jambatan unik itu.. orang tempatan panggil 'Jambatan Hingaq' merentasi Sungai Sala yg cantik menghubungkan Daerah Kita Setar dgn Daerah Yan.. Memang hingaq sungguh bila kenderaan lalu.. hingaq yg. blh. jadi tarikan tu.. kayuhan kami melangkaui masuk sedikit ke Daerah Yan.. Alhamdulillah .. hari ini kayuhan melebihi 50KM... letih gila fasal panas terik.. 


Terima kasih.. 3 orang sahabat baru yg sudi join kayuhan hari ini.. 

Saya amat menghargai usaha 2 orang sahabat baru dari Kota Sarang Semut ini yg amat prihatin terhadap isu2 anak muda terutama berkaitan pelencongan sosial dan isu salah guna dadah.. InsyaAllah saya akan sama2 mereka utk terlibat dlm aktiviti2 yg akan mereka laksanakan untuk mendekati anak2 muda dgn program2 yg menyihatkan dan positif.

_____________

TQ

#berbasikalnormabaru

#kitajagakita

Abdul Halim Alwi.





















Yusof Osman.

Masjid Al Islah.

Yusof Ismail.

Pn Aza.

#Hingaq = bising

Monday, April 29, 2019

UCAPAN PERASMIAN PENUTUP MINGGU INTEGRITI LADA 2019 OLEH MOHD ASRI REDHA

TEKS UCAPAN ALUAN



MAJLIS PERASMIAN PENUTUP

MINGGU INTEGRITI LADA 2019











Assalamualaikum, Salam Integriti dan Salam Kedah Aman Makmur - Bersama Memacu Transformasi



Mukadimah

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya jua kita telah berjaya mengadakan Minggu Integriti LADA 2019 dan hari ini adalah penamatnya. Bagi, agensi luar mungkin ini adalah hari ketiga, atau kedua, atau mungkin hari yang pertama menyertai Minggu Integriti LADA 2019 kerana tiga (3) hari terakhir Minggu Integriti adalah terbuka kepada agensi luar. Walau berapa lama tuan puan berkampung di Langkawi, semoga perkongsian LADA ini memberikan input yang bermanfaat kepada agensi tuan puan juga.Terima kasih atas kehadiran tuan puan yang menunjukkan pernyataan komitmen terhadap usaha-usaha memperkasa integriti. Diharapkan juga tuan puan telah menikmati Langkawi ‘Hospitality’ sepanjang berada di bumi lagenda Mahsuri ini, sebelum berangkat pulang ke tempat tuan puan.



Terima kasih juga diucapkan kepada penceramah slot Integrity: Walk  The Talk (i-TALK) kita pada hari ini, Ustaz Muhamad Hanif bin Muhamad Haneefa atau lebih kita kenali dengan nama PU Hafiz di arena pentas dakwah Malaysia atas kesudian menyampaikan ceramah sebentar tadi. Banyak teladan yang kita boleh ambil dari sirah Rasulullah SAW yang kita cintai dan boleh diadaptasi dalam kita melaksanakan tanggungjawab kita sehari-hari. Semoga apa yang disampaikan oleh beliau dapat mengetuk pintu hati kita dan bertanya pada diri, “Adakah aku telah melaksanakan tugas tanggungjawab yang diperamanahkan kepadaku dengan penuh integrity?” dan “Adakah aku memberi makan kepada keluargaku dengan duit yang halal hasil daripada kerjaku yang dijalankan dengan sempurna?”. Pertanyaan seperti ini adalah perlu kerana ia adalah salah satu cara kita bermuhasabah terhadap amalan kerja yang kita ambil satu (1) per tiga (3) daripada waktu kita sehari-hari. Perlu kita manfaatkan waktu kerja sebagai salah satu ibadat menambah pahala dalam perjalanan kita menuju ke syurga Ilahi yang kekal abadi.



Amanah Jangan Dikhianati

Tuan-tuan dan puan-puan,

Suka saya mengambil platform ini sebagai pentas untuk saya mengingatkan diri saya dan hadirin semua bahawa kerja kita merupakan satu amanah. Kita bertanggungjawab terhadap kerja yang diamanahkan dengan gaji yang telah dibayar perlu setimpal dengan kerja yang dibuat. Bukan sahaja dengan zakat mensucikan pendapatan yang kita peroleh atau menjalankan kerja yang halal, bahkan tindakan kita menjalankan amanah juga merupakan satu bentuk untuk kita memastikan rezeki yang kita terima itu halal dan bukan dalam istilah lain ‘makan gaji buta’. Kita juga memilih untuk mendapat ‘amanah’ ini dengan meminta jawatan kita daripada majikan yang menggajikan kita,  maka hendaklah kita menjaga ‘amanah’ tersebut. Allah telah berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud:-

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,”. 



Bahkan dalam surah Al-Anfal ayat 27, Allah berfirman yang bermaksud:-

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.”



Rasuah Manifestasi Khianat

Tuan-tuan dan puan-puan

Boleh kita rangkumkan juga bahawa rasuah merupakan bentuk pecah amanah. Contoh yang dapat saya beri, bayangkan jika kita dipertanggungjawabkan sebagai pemberi lesen, dan kita meminta duit untuk menyegerakan kelulusan pengeluaran suatu lesen tersebut, itu merupakan bentuk rasuah dan telah mengkhianati majikan yang telah menggajikan kita untuk melakukan kerja merngikut prosedur yang telah ditetapkan. Oleh hal yang demikian, itulah pentingnya kita mengadakan program-program seperti Minggu Integriti ini untuk memperingatkan kita untuk mengelakkan kita daripada culas dalam kerja sehingga menyebabkan kita melakukan perbuatan tidak berintegriti seperti berniaga ketika bekerja, bermain Facebook sambil kerja dan ponteng kerja.



Sungguh boleh dikatakan usaha-usaha memperkasa integriti dan membanteras jenayah rasuah berkembang seiring perubahan zaman. Malaysia sendiri tidak terkecuali. Pada 2004, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Integriti Nasional (PIN). 2010 menyaksigan agenda Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0. 2012 pula GTP 2.0 telah diperkenalkan. Pada tahun ini pula, kerajaan mengorak langkah dengan memperkenalkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP). Begitu juga ISO Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) telah diperkenalkan sebagai satu usaha memusatkan semua inisiatif pencegahan rasuah secara teratur dan sistematik bagi mengurangkan kesan risiko rasuah terhadap agensi. Justeru, tidak mustahil akan ada lagi inisiatif baharu yang akan diperkenalkan kerajaan dalam kerangka visi Malaysia bersih daripada rasuah.



Usaha Diperingkat Agensi

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kerajaan telah membuat pelbagai inisiatif dan dasar-dasar baru. Namun, kitalah pelaksananya. Oleh itu, hendaklah kita menyahut cabaran dan berlumba secara sihat dalam memastikan agenda kerajaan ini terlaksana. Walaupun kita mempunyai kerja hakiki yang lain, perlu kita sedar bahawa integriti merupakan tulang belakang bagi memastikan kita melaksanakan tugas hakiki dengan cemerlang. Masakan mekar bunga tanpa penjagaan yang baik, masakan kukuh rumah tanpa struktur yang padu, begitulah perumpamaan nilai integriti. Maka, kita sewajarnya menggembleng idea dan tenaga ke arah pemantapan integriti agensi.



LADA telah menyatukan usaha integriti melalui peranan Unit Integriti. InsyaAllah ia akan lebih tersusun dengan Pelan Antirasuah yang akan diterbitkan kelak. Malah platform seperti Minggu Integriti ini akan mebantu ke arah pemerkasaan integriti LADA serta gerak kerja LADA sendiri melalui jalinan kerjasama atau networking bersama-sama agensi tuan puan. Setiap kita mempunyai kepakaran yang berbeza.  Lets us break the silo. Usaha integriti ini tidak perlu dijalankan sendirian. InsyaAllah lebih banyak ketelibatan akan membuahkan hasil yang di luar jangkaan. LADA amat mengalu-alukan sebarang bentuk kolaborasi bersama agensi tuan puan dalam agenda penginstitusian nilai-nilai integriti.



Harapan dan Penutup

Tuan-tuan, dan Puan-puan,

Adalah diharapkan melalui penganjuran Minggu Integriti LADA 2019, hadirin sekalian memperoleh pengetahuan bermanfaat kepada diri serta boleh dipraktikkan di agensi. InsyaAllah LADA akan menambah baik lagi mutu penganjuran Minggu Integriti LADA 2019 yang merupakan pertama kali diadakan. Sebagai tuan rumah, saya memohon maaf di atas segala apa-apa yang kurang daripada pihak LADA sepanjang tuan puan menghadiri program-program yang berlangsung sepanjang Minggu Integriti ini. Saya telah meminta pihak urus setia mengendalikan sesi posmortem segera dengan mengambil dapatan daripada tuan puan bagi penganjuran Minggu Integriti LADA 2020 pula dengan izin Allah jua.



Sebelum mengundur diri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih Jawatankuasa Pelaksana Minggu Integriti LADA 2019 yang telah bertungkus lumus menjayakan program-program sepanjang minggu. Saya tahu bukan mudah bagi Jawatankuasa melaksanakannya dengan pelbagai kekangan dan telah lihat sendiri gerak kerja Jawatankuasa ini yang positif serta segera menyediakan pelan kontigensi bagi memastikan kualiti penganjurannya terpelihara. Tahniah dan syabas diucapkan.



Untuk itu, dengan kalimat suci bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan penutup Minggu Integriti LADA 2019.

 

Sekian daripada saya,

wabillahitaufiq wal hidayah,

wassalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh.


HHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHH
















Ucapan Aluan

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF LADA BERSEMPENA MAJLIS PERASMIAN MINGGU INTEGRITI LADA 2019 DAN SEMINAR KELESTARIAN INTEGRITI LADA




Assalamualaikum, Salam Integriti dan Salam Kedah Aman Makmur - Bersama Memacu Transformasi



Mukadimah

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya jua kita dapat mengadakan Minggu Integriti LADA 2019 sepanjang minggu ini. Di samping itu, kita juga dapat mengadakan Seminar Kelestarian Integriti sepanjang hari ini. Saya difahamkan oleh urus setia bahawa peserta kita adalah seramai 350 orang yang terdiri daripada Badan-badan Berkanun Persekutuan, Badan-badan Berkanun Negeri Kedah, Agensi Awam di Langkawi, termasuk penyertaan daripada warga LADA, syarikat-syarikat LADA dan syarikat bersekutu LADA. Terima kasih atas kesudian YBhg. Dato’-dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang datang daripada jauh mahupun dekat atas kesudian menghadiri program pada hari ini.
 Terima kasih yang tak terhingga juga kepada Yang Berhormat Dato’ Ir Amiruddin Hamzah, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, merangkap Pengerusi Bersama Jemaah Pengarah LADA atas kesudian melapangkan masa, menghadiri program Minggu Integriti LADA walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan di Kementerian Kewangan. Begitu juga Yang Berbahagia Dato’ Shaharom Nizam bin Abd Manap, Pengarah SPRM Negeri Kedah atas kesudian menyampaikan bingkisan coretan sebelum bermulanya majlis kita pada pagi ini. Beliau merupakan pegawai yang komited dan berpengalaman luas dalam mengendalikan siasatan-siasatan kes rasuah. Terima kasih sekali lagi kepada Dato’ berdua.
Pengenalan Minggu Integriti LADA
Yang Berhormat Dato’, Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Tuan-tuan, dan Puan-puan,
Untuk pengetahuan semua, Minggu Integriti LADA pada tahun ini merupakan julung kali diadakan. Jika sebelum ini, LADA menganjurkan Hari Integriti yang hanya terbuka kepada warga LADA sahaja, pada tahun ini kita mengadakan Minggu Integriti LADA yang bukan sahaja untuk warga LADA bahkan melibatkan penyertaan Badan-badan Berkanun Persekutuan, Badan-badan Berkanun Negeri Kedah, Agensi Awam di Langkawi serta syarikat-syarikat LADA dan syarikat bersekutu LADA. Penganjuran Minggu Integriti pada skala yang besar ini merupakan satu manifestasi hasrat LADA untuk berkolaborasi dengan semua agensi dalam memperkukuh integriti, menyatukan gerak kerja antirasuah dan sekaligus memarbatkan perkhidmatan badan awam di Malaysia.
Hal ini kerana saya melihat bahawa dalam mendepani cabaran semasa kini yang menuntut agar kita memperkemas prosedur kerja serta menyampaikan perkhidmatan kepada orang awam, LADA sendiri memerlukan satu anjakan paradigma daripada melakukan perkara kebiasaan atau rutin di zon selesa atau “comfort zone”. Apatah lagi usaha memerangi rasuah bukan satu perkara yang seharusnya dilakukan secara bersendirian atau silo. Ia bukan terletak hanya di bahu Unit Integriti Agensi, SPRM atau GIACC, ia merupakan tanggungjawab semua pihak. Oleh hal yang demikian, ia memerlukan kolaborasi kepakaran, kerjasama tenaga, serta kesatuan tekad dan iltizam dalam merencanakan serta menjalankan gerak kerja pengukuhan integriti dan antirasuah.
Tema dan Pengisian
Yang Berhormat Dato’, Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Tuan-tuan, dan Puan-puan,
Sesuai dengan tema yang dipilih “Integriti Kompas Moral Organisasi”, integriti merupakan pedoman dan asas modal insan yang diperlukan setiap agensi bagi memastikan segala perancangan agensi berjaya dilaksanakan dengan penuh rasa kebertanggungjawaban. Tanpa integriti, perancangan ini sudah sepastinya sukar dicapai kerana pelaksananya ‘hilang pedoman’ atau ‘hilang arah’ dalam menggerakkan perancangan agensi. Maka, integritilah yang menjadi ‘kompasnya’. Justeru, suka saya memaklumkan bahawa pelbagai pengisian telah diatur oleh pihak LADA dalam menginsitusikan nilai-nilai integriti dalam kalangan warga kerja LADA, pekhidmat badan berkanun, penjawat awam lain dan sektor swasta sepanjang minggu ini.
Untuk makluman, penganjuran Minggu Integriti pada kali ini dibahagikan kepada dua (2) segmen, iaitu terbuka kepada warga LADA sahaja dan terbuka kepada semua. Bagi penganjuran khas terbuka kepada LADA, kita mengadakan program bercorak pertandingan seperti:-
  1. Eksplorasi Integriti yang telah disertai oleh 48 warga LADA yang menguji fizikal dan mental melalui cabaran-cabaran yang telah diatur pada 21 April 2019;
  2. Susun Kata Integriti  yang disertai oleh 64 orang warga LADA dengan cabaran bercorak ‘Munsyi Bahasa’ pada 22 April 2019; dan
  3. Swafoto Integriti, menampilkan cabaran menyampaikan mesej-mesej integriti yang telah bermula pada 14 April sehingga tarikh tutupnya, iaitu pada tengah malam ini.

Penganjuran pertandingan-pertandingan ini diharap dapat memupuk pemahaman dan penerapan warga LADA sendiri terhadap integriti dan dasar-dasar Kerajaan yang berkaitan dengannya melalui platform ‘fun learning’ selain mewujudkan daya saing yang sihat dalam mencapai objektif program.

 Segmen kedua dengan penyertaannya kepada semua agensi termasuklah:-

  1. i-Fit-4-Life yang berkonsepkan ‘light Zumba’ pada kelmarin, 23 April 2019;
  2. Seminar Kelestarian Integriti, seperti yang dianjurkan pada hari ini (24 April 2019); dan
  3. Integrity: Walk The Talk atau dikenali di LADA dengan singkatan             i-TALK, Edisi Minggu Integriti yang diadakan pada esok hari (25 April 2019).
    Segmen kedua ini digarap dengan kombinasi PQ, IQ dan SQ (Physical Quotient, Intellectual Quotient, Spiritual Quotient), mengimbangi tuntutan kecergasan jasmani melalui aktiviti senaman, kecerdasan akal melalui perbincangan ilmiah dan kekuatan rohani melalui pengisian keagamaan. Sesuai dengan itu, pengurusan LADA bersetuju agar segmen ini terbuka kepada semua, tanpa apa-apa caj bayaran. Hasratnya agar Langkawi bukan sahaja destinasi pelancongan utama di dunia malahan membuka pentas bagi lebih banyak pihak menjadikan Langkawi sebagai pusat riadah, sukan, latihan, pentas perbincangan ilmiah atau keagamaan, medium perbahasan dan pembentangan dasar kerajaan selain menjalin hubungan erat dengan pelbagai agensi dalam menggembleng idea dan tenaga untuk memacu agenda kesejahteraan rakyat.  
    Usahasama bersama Agensi Luar

Yang Berhormat Dato’, Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Tuan-tuan, dan Puan-puan,

Kerjasama erat turut LADA zahirkan melalui kerjasama dengan SPRM melalui  program Integrity Walkabout yang bakal dilaksanakan selepas tamat majlis pagi ini. Ia bagi mendapatkan pandangan para pelancong terhadap rasuah di Malaysia, yang merupakan petama kali diadakan seumpanya. Seramai 60 orang petugas yang terdiri daripada pegawai SPRM dan LADA akan berada di Dataran Lang, Jeti Kilim dan Oriental Village dengan sasaran 1,200 pelancong dalam dan luar negara dalam tempoh tiga (3) jam pelaksanaan program. Hasil dapatan kajian amat bermakna dalam membanteras rasuah melalui gerak kerja yang progresif berdasarkan pandangan pelancong dan dapat digunakan bukan sahaja LADA dan SPRM, malahan agensi-agensi berkaitan integriti, penguatkuasaan, industri pelancongan dan para penuntut pendidikan tertiari. Saya amat yakin usahasama seumpama ini boleh diadakan berterusan dan dalam pelbagai bentuk yang lain.

 Seminar Kelestarian Integriti

Jika Integrity Walkabout berlangsung di luar dewan ini, manakala Seminar Kelestarian Integriti akan diteruskan sejurus tamat majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Ir Amiruddin Hamzah sebentar lagi. Dengan tema yang dipilih pengurusan LADA, iaitu “Sistem Pengurusan Antirasuah dan Pelan Antirasuah:- Ke Arah Tadbir Urus Terbaik”, sebanyak enam (6) slot telah dirangka yang bakal disampaikan oleh lima (5) orang penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang tugasnya, iaitu:-



  1. ISO Sistem Pengurusan Antirasuah – Kepentingan dan Implikasi Pelaksanaan; dan
  2. ISO Sistem Pegurusan Antirasuah – Keperluan Ke Arah Pentauliahan
    Kedua-dua tajuk ini berkait dengan ISO Anti-Bribery Management System (ABMS) dan akan dikupas dari sudut kepentingan dan persediaan bagi suatu agensi ke arah pensijilan ABMS. Ia akan disampaikan oleh:
    Puan Fauziah Binti Sulaiman
    Ketua Seksyen Perkhidmatan
    Seksyen Jualan dan Pembangunan Perniagaan
    SIRIM QAS International Sdn Bhd
  3. Tadbir Urus Badan Berkanun – Antara Kehendak Peraturan dan Kuasa Budi Bicara
    Tajuk ini akan membahaskan perihal kuasa budi bicara dan hadnya dalam pengurusan agensi. Ia akan disampaikan oleh:
    Tuan Shamsul bin Bolhassan
    Peguam Kanan Persekutuan
    Ketua Unit Perlembagaan & Undang-Undang Pentadbiran
    Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara
  4. “Corporat Liability” dalam Akta SPRM – Apa Yang Perlu Anda Fahami?
    Selaras dengan kelulusan sidang Dewan Negara pada 5 April 2018 bagi Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Pindaan) 2018 yang meliputi peruntukan baharu seksyen 17A bertujuan mengalakkan perniagaan dan aktiviti komersial dijalankan dalam keadaan bebas rasuah, perlu sama-sama kita fahami melalui pembentangan oleh:
    Tuan Haji Celemans Haji Kasim
    Penolong Pesuruhjaya Bahagian Komunikasi Strategik
    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
  5. Merekayasa Pelan Antirasuah Organisasi
    Selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang telah dilancarkan, sepastinya semua agensi berlumba-lumba menggerakkan inisiatif antirasuah melalui penerbitan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP). Oleh itu, LADA menjemput spokeperson OACP, iaitu: 
    Tuan Mohamad bin Ahmad @ Puteh
    Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi
    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
  6. Merintis Perubahan Organisasi
    Sudah pasti kita juga ingin mendapatkan penerangan daripada agensi yang telah berjaya memperoleh ABMS, untuk kita mengetahui pahit manis dalam usaha agensi ke arah pensijilan ABMS, iaitu:
    Yang Berbahagia Dato’ Latifah binti Md Yatim
    Ketua Pegawai Integriti dan Projek Khas
    Lembaga Tabung Haji
Harapan

Yang Berhormat Dato’, Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Tuan-tuan, dan Puan-puan,

Adalah diharapkan melalui penganjuran Seminar Kelestarian Integriti, para peserta memperoleh pengetahuan bermanfaat untuk dipraktikkan di agensi. Semoga ia menjadi sesi percambahan dan diskusi ilmiah dalam kalangan peserta bagi merealisasikan tadbir urus agensi terbaik dan bebas rasuah, di samping menjadi sesi ‘networking’ dalam kalangan agensi bagi menggerakkan kolaborasi yang padu dalam agenda pengukuhan integriti dan antirasuah.


Sebelum mengundur diri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi pempamer, iaitu:-

  1. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM);
  2. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC);
  3. Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI);
  4. Bank Negara Malaysia (BNM);
  5. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK);
  6. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN);
  7. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp);
  8. Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi;
  9. Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi; dan
  10. Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Langkawi;
    Tidak lupa ucapan setinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Pelaksana Minggu Integriti LADA 2019 yang diterajui oleh Tuan Haji Mohd Asri Redha bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Tuan Haji Zepri Saad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) dan En. Muhammad Khairi Azizan, Ketua Unit Integriti LADA. Jawatankuasa ini menjadi tulang belakang kejayaan penganjuran pada kali ini dengan gerak kerja perancangan program yang bermula seawal Oktober 2018 (enam bulan terdahulu). Semoga penganjuran pada kali ini menjadi pemangkin gerak kerja integriti dan antirasuah bukan sahaja buat LADA, bahkan buat semua wakil-wakil agensi yang hadir pada hari ini.
    Sekian daripada saya,
    wabillahitaufiq wal hidayah,
    wassalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh.