Tuesday, September 22, 2009

Ucapan Aluan Pegawai Daerah Langkawi Sempena Majlis Jamuan Rakyat Peringkat Daerah Langkawi

Draf disediakan oleh: Mohd Asri Redha
Majlis pada 07 Ogos 2008
Butiran Majlis: Jamuan Rakyat Sempena Sambutan Jubli Emas Pemerentahan KDYMM Tuanku Sultan Kedah


Assalamu Alaikum wa Rahmatullahi wa barakatuh.
Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah
Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun,
Sembah patik mohon di ampun.

Patik serta pacal-pacal sekalian dengan segala hormat dan takzimnya merafak sembah, menyembahkan junjung kasih yang tidak terhingga atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Berdua berangkat mencemar duli untuk menghadiri Majlis Jamuan Rakyat pada malam ini.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku adalah membawa erti yang amat besar bagi patik dan pacal-pacal sekalian, serta merupakan kurniaan dorongan dan perangsang bagi pacal rakyat sekalian. Barang dikabulkan Allah SWT serta dengan berkat kemulian serta daulat kebesaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, bertambahlah martabat dan kemuliaan Majlis Jamuan Rakyat Daerah Langkawi ini yang diadakan mengambil sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Pemerentahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Darul Aman.

Patik-Patik sekalian amat merasa bangga dan terharu kerana dalam kesibukan KBDYMM Tuanku Sultan menghadiri pelbagai majlis dan istiadat yang diadakan sempena Sambutan Jubli Emas Pemerentahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Tuanku masih mempunyai masa, tenaga dan ruang untuk bersama-sama rakyat jelata di Pulau Langkawi Permata Kedah ini. Dari maklumat yang patik perolehi hampir 30 acara yang melibatkan keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan sepanjang Perayaan Sambutan JubIi Emas Pemerentahan KDYMM Tuanku Sultan. Ini menunjukkan rakyat jelata sentiasa dalam ingatan dan perhatian Tuanku.

Patik-Patik sekalian sentiasa mendoakan agar Tuanku sentiasa dalam peliharaan Allah SWT dan diberi kesihatan tubuh badan yang baik agar dapat memerentah negeri Kedah ini dengan penuh kedaulatan.

Ampun Tuanku

Barang diperkenan Kebawah Duli Tuanku, patik mohon diampuni izin untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada sidang hadirin dalam majlis ini,

Ampun Tuanku.

Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda,
Ampuan tuanku, Patik merafak sembah menjunjung kasih ke atas perkenan Tuanku yang mencemar duli berangkat untuk bersama-sama dalam majlis Jamuan Rakyat sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas Pemerentahan KBDYM Tuanku Sultan Kedah. Sesungguhnya dengan keberangkatan DYTM Tuanku akan menambahkan serinya lagi majlis pada malam ini.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan b. Abdul Razak.. Menteri Besar Kedah DA
YTM Tunku Bendahara Kedah dan YABhg Toh Puan Bendahara
YTM Tunku Temenggong dan YTM Toh Puan Temenggong
YTM Tunku Laksamana dan YABhg Toh Puan Laksamana
YTM Dato’Seri Tunku Puteri Intan Safinaz bt. KBDYMM Sultan Hj Abdul Halim Muadzam Shah.
YTM Tunku Dato’ Seri Tunku Puan Soraya Bt. KDYMM Tuanku Sultan Hj Abdul Halim Mu’adzam Shah dan YAM Raja Kecil Sulong Perak
…………….

Dato’Dato, Datin-Datin
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang dhormati sekalian

Terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kehadratAllah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnianya, telah mengizinkan kita sama-sama dapat hadir di Majlis yang amat besar maknanya pada malam ini. Saya bagi pihak penganjur Majlis Jamuan Rakyat Daerah Langkawi Permata Kedah ini ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih diatas kehadiran begitu ramai rakyat Pulau Langkawi ke Majlis Jamuan Rakyat ini. Walaupun tidak semua dapat kita dapat jemput disebabkan kekangan yang pelbagai tetapi kehadiran tetamu-tetamu pada malam ini mewakili pelbagai institusi dan golongan rakyat yang tinggal di Pulau Langkawi ini. Kehadiran Dato’ Dato’, tuan-tuan dan puan-puan membuktikan betapa kasih dan sayangnya rakyat di Pulau Langkawi ini kepada KDYMM Tuanku Sultan.

Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan sekalian

Terlanjur kita mengadakan Majlis Jamuan Rakyat mengambil sempena Sambutan Jubli Emas Pemerintahan KBDYM Tuanku Sultan Kedah saya ingin mengambil kesempatan disini untuk menceritakan sedikit sebanyak tentang kesultanan Kedah kepada penduduk Langkawi Permata Kedah ini.

Kesultanan Melayu Kedah merupakan kesultanan yang tertua di Malaysia dan dapat disingkap kembali 900 tahun lalu bermula dengan Sultan Muzaffar Shah pada tahun 1136. Kesan-kesan sejarah membuktikan Kedah sebagai Kesultanan dan Kerajaan Islam yang pertama dirantau ini..

Semenjak itu terdapat 28 orang Sultan yang bersilihganti memerintah daripada 8 buah pusat pemerintahan diseluruh negeri Kedah Darul Aman. Antara Pusat Pemerintahan tersebut ialah Kota Bukit Meriam, Kota Sungai Emas, Kota SiPuteh, Kota Naga, Kota Sena, Kota Indra Kayangan, Kota Bukit Pinang dan Kota Setar bermula tahun 1735 hingga sekarang.

KDYMM Tuanku Sultan Hj. Abdul Halim Muadzam Shah telah menaiki tahta kerajaan Negeri Kedah pada tanggal 15 Julai 1958.. Baginda Tuanku adalah Sultan Kedah ke 4 yang menyambut Jubli Emas Pemerintahan semasa berada diatas tahta. Sebelum ini antara Sultan-Sultan Kedah yang memerintah melebihi 50 tahun ialah Sultan Ataullah Muhammad Shah (Sultan ke 8), Sultan Zainal Adilin Mu’adzam Shah II (Sultan ke 19), Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Sultan ke 26).

Tahun ini adalah tahun yang amat bersejarah bagi negeri Kedah yang akan tercatat dalam lipatan sejarah negara dimana pada tahun ini pada tanggal 15 Julai 2008 bersamaan 12 Rejab 1429H, genaplan 50 tahun pemerentahan KBDYMM Al Sultan Al Mu’tasimu Billhi Muhibuddin Tuanku Al Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibin ALMarhum Sultan Badlishah , Sultan Negeri Kedah yang ke 28. Jarang-jarang sekali kita terjumpa mana-mana pemerentah pada masa kini yang dapat mengekalkan pemerentahan selama 50 tahun dalam keadaan negeri yang stabil, makmor dan aman sejahtera. 50 tahun pemerentahan yang penuh warna warni, penuh suka duka dan penuh cabaran tetapi semuanya itu telah dapat harungi dengan baik dan tenang sampailah ke hari ini.

Kita juga InsyaAllah jika diizinkan Allah SWT dalam beberapa tahun yang akan datang ini akan memecah satu lagi rekod sejarah dimana jika tidak ada aral melintang, KBDYMM Tuanku Sultan kemungkinan besar akan menjadi Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong kali ke 2. Sama-samalah kita berdoa kehadzrat Allah SWT agar baginda Sultan terus berada dalam kesihatan yang baik dan dipanjangkan usia agar dapat terus memerentah negeri dan negara kita yang tercinta ini. .Insya Allah.

Atas sebab keluarbiasaan itulah maka Kerajaan Negeri Kedah DA telah merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti dan program bagi meraikan Sambutan Jubli Emas Pemerentahan KDYMM Tuanku Sultan Kedah DA dan sebahagian besar program tersebut adalah bertempat di Bandaraya Alor Star..Saya rasa selepas ini mungkin tidak akan ada lagi perayaan seperti ini, kerana untuk memerentah sehingga 50 tahun, seseorang raja pemerentah itu perlu menaiki tahta pada umur dibawah 30 tahun.

Sebagai rakyat Kedah Darul Aman yang yang sama-sama menyayangi Tuanku Sultan, maka rakyat Langkawi juga tidak mahu ketinggalan dalam menyahut seruan menjayakan sambutan tersebut. Atas sebab itulah maka dengan inisiatif semua pihak golongan rakyat dan institusi yang berada di Langkawi ini, maka kita telah merancang untuk mengadakan Majlis Jamuan Rakyat Daerah Langkawi seperti yang terjadi pada malam ini. Saya amat berterima kasih kerana KDYMM Tuanku yang kita sayangi ini dapat memberikan ruang dan masa baginda yang amat berharga kepada kita untuk baginda berangkat kemajlis ini. Saya akui untuk orang Langkawi pergi ke Alor Star mengikuti setiap program dan aktiviti yang diatur adalah sesuatu agak menyulitkan sedikit.. Ini ditambah pula dengan kos pengangkutan laut yang agak membebankan rakyat Langkawi. Sebab itulah sebahagian dari program itu kita bawa ke Langkawi seperti malam ini. Maka marilah kita sama-sama mengambil kesempatan yang ada ini untuk beramah dan bertemu mesra dengan baginda Sultan yang jarang-jarang sekali kita perolehi.

Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Daerah Langkawi ini adalah satu-satunya daerah yang terpisah agak jauh dari daratan lebih kurang 51.5 km dari Kuala Kedah. Untuk datang kesini pelawat terpaksa mengharungi laut yang luas melalui pintu masuk yang pelbagai. Kerajaan Negeri menyedari kadang-kadang pelawat-pelawat yang datang ke Pulau Langkawi ini seolah-olah terlupa bahawa Pulau Langkawi ini adalah sebahagian dari negeri Kedah Darul Aman terutamanya bagi pelancong-pelancong luar negara...

Sehubungan itu dalam titah ucapan KBDYMM Tuanku Sultan Kedah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran yang diadakan di Istana Anak Bukit pada 16 Julai 2008 , KBDYMM Tuanku Sultan telah berkenan mengistiharkan Daerah Langkawi dengan satu jenama baru yang dinamakan LANGKAWI PERMATA KEDAH. Kita sebagai rakyat Langkawi amat berasa bertuah kerana satu-satu Daerah yang diberikan satu gelaran Permata Kedah, dan Pengistiharan ini pula dibuat dalam Istiadat Gilang Gemilang Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Kedah yang diadakan sempena Sambutan Jubli Emas Pemerintahan KBDYMM Tuanku Sultan Kedah. Dalam istilah biasanya Permata itu sendiri menggambarkan sesuatu yang amat bernilai tinggi. Begitulah Pulau Langkawi ini mempunyai nilai yang amat tinggi dalam pelbagai aspek, samada bidang pelancongan, sejarahnya, alam semula jadinya, ekonomi atau perniagaan, pertanian dan sebagainya. Dalam bidang Pelancongan khususnya, kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan untuk memajukan Pulau Langkawi Permata Kedah sebagai Pusat Pelancongan Bertaraf Antra Bangsa telah berjaya menonjolkan Pulau Langkawi Permata Kedah di mata dunia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang hebat dan mengagumkan.

Jadi mulai dari saat itu kerajaan negeri akan menggunapakai Daerah Langkawi sebagai Daerah Langkawi Permata Kedah...Penggunaan jenama ini tidak akan menghapuskan atau menjejaskan sama sekali jenama-jenama lain yang telahpun dikenali diserata ceruk rantau sama ada dalam negara ataupun diluar negara seperti Langkawi Pulau Lagenda, Langkawi Pulau Mahsuri, Langkawi Bandaraya Pelancongan, Langkawi Geopark dan sebagainya. Semua ini akan menambahkan lagi nilai yang ada di Langkawi Permata Kedah ini sebagai sebuah pulau yang amat berpotensi untuk dimajukan dalam apa bidang sekalipun.

Berbalik kepada majlis Jamuan Rakyat Daerah Langkawi pada malam ini, saya sukalah mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua institusi, individu, jabatan-jabatan kerajaan samaada negeri maupun persekutuan yang telah sama-sama menjayakan majlis kita pada malam ini. Tanpa sokongan semua pihak program yang kita laksanakan ini tidak akan berjalan dengan lancar.

Tidak lupa juga saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma yang mana tidak dapat saya sebutkan satu persatu disini yang turut menyumbang bagi menjayakan Majlis Jamuan Rakyat ini.

Akhir sekali saya bagi pihak seluruh Ahli Jawatankuasa Majlis Jamuan Rakyat Daerah Langkawi Permata Kedah ini memohon kemaafan sekiranya terdapat sebarang kekurangan dan kelemahan yang tidak disengajakan sepanjang majlis ini berjalan.

KBDYMM Tuanku Sultan ,
KBDYMM Tuanku Sultanah
Ampun Tuanku beribu ampun
Sembah patik mohon di ampun

Hanya sekianlah sahaja ucapan patik kepada para hadirin sekalian.
Patik sekali lagi dengan penuh takzim merafakkan ucapan menjunjung kasih atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku berangkat ke Majlis Jamuan Rakyat Daerah Langkawi Permata Kedah pada malam ini

Ampun Tuanku

Sekian, wabillhi taufik, walhidayah
Wassalamualaikum wa Rahmatulahi wa Barakatuh.

Ampun Tuanku.
(angkat sembah)